Saturday, September 20, 2025

Tembuni Berdarah Menghantui di Pawagam 25 September 2025

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Berbeza dengan filem genre seram tempatan lain yang pernah berada di pasaran sebelum ini, TEMBUNI BERDARAH mengangkat isu pemakaian susuk dalam dunia estetika kecantikan serta perbezaan ideologi di antara generasi lama dengan generasi baharu tentang penggunaan amalan syirik sebagai jalan pintas untuk berjaya.


Diterbitkan syarikat produksi Lindo Production Sdn Bhd, TEMBUNI BERDARAH adalah sebuah filem bergenre seram arahan sutradara Dr Ahmad Idham yang dibintangi Sophia Albarakbah, Niezam Zaidi, Khatijah Tan, Shahirah Shahora, Riezman Khuzaimi serta Mia Nasir.


Mengulas lebih lanjut mengenai TEMBUNI BERDARAH, Idham berkata, biarpun dia telah banyak menghasilkan berbagai jenis genre filem seram, namun masih ada yang mahukan dia kembali dengan filem seram seperti Jangan Pandang Belakang serta Congkak.

Filem ini berkisar dengan suasana dan keadaan yang berlaku hari ini, apatah lagi bila ia mengaitkan tentang dunia estetika kecantikan. Kalau diperhatikan, zaman ini ramai orang yang memilih dunia estetika kecantikan untuk merawat diri, menjaga penampilan untuk nampak cantik serta awet muda.


Idham juga mengakui turut berpuas hati dengan komitmen yang ditonjolkan kesemua barisan pelakon filem ini dalam menjayakan watak masing-masing. Cabaran yang lebih berat buat Sophia Albarakbah sebagai peneraju utama untuk membawakan ‘akting kotor’ agar dapat menampilkan dirinya dengan sisi lakonan yang lebih berbeza. Beliau sanggup bermain dengan darah, menjayakan babak di kubur pada waktu malam daripada tampil cantik semata-mata dengan lakonannya.


TEMBUNI BERDARAH menjalani penggambaran selama 20 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sebelum dan sewaktu bulan Ramadan pada tahun ini. Filem TEMBUNI BERDARAH arahan Dr Ahmad Idham ini bakal ditayangkan seluruh pawagam tanah air pada 25 September 2025 ini.

Dr Izara (Sophia Albarakbah) mempunyai cita-cita untuk mengembangkan bisnes produk kecantikannya, namun dia percaya tiada jalan pintas untuk berjaya dan setiap individu haruslah berusaha serta bekerja keras demi mencapai cita-cita dan impian mereka.


Namun neneknya, Bok Miah (Khatijah Tan) yang mengamalkan ajaran ilmu hitam pula berpendapat sebaliknya. Baginya, apalah gunanya ilmu hitam yang dimilikinya jika ia tidak digunakan untuk membantu anak cucunya agar mereka dapat hidup senang. Adakah Dr Izara tetap berpegang dengan prinsipnya atau akhirnya akur dengan kehendak neneknya, Bok Miah? 

No comments:

Post a Comment