Thursday, March 7, 2024

Festival Aku, Muzik & Kamu (AMK) Kembali Dengan Barisan Artis Baharu

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Festival Aku.Muzik&Kamu (AMK) yang mengemparkan Selatan Semenanjung tahun lepas kini kembali dengan barisan artis baru yang telah menoreh sejarah dan menakluk belantika muzik Nusantara. Festival AMK yang memasuki tahun kedua penganjuran kini bernama AMK 2.0 menjanjikan satu festival muzik yang tidak akan dapat dilupakan di mata pemegang-pemegang tiket.


CoAction Events Sdn Bhd, penganjur AMK 2.0, dengan bangganya mengumumkan sembilan (9) pemuzik Nusantara yang akan menghangatkan pesta 10 jam tanpa henti tersebut pada 8 Jun 2024 di Stadium Olahraga Mount Austin, Johor Bahru, Johor.


Barisan pesohor muzik tersebut termasuklah kumpulan Masdo, IAMNEETA, Saixse, Feel Koplo, Imran Ajmain dan Ratu Rock Negara, Ella. Selain itu, Afgan akan diterbangkan khas dari Indonesia untuk ‘mencairkan’ pengunjung-pengunjung dengan lagu hit-nya seperti Bukan Cinta Biasa dan Jodoh Pasti Bertemu.

Turut mewakili keghairahan muzik Indonesia, AMK 2.0 akan menampilkan Kumpulan Nidji yang tidak pernah mengecewakan dalam persembahan-persembahan penuh tenaga mereka. Dan mewakili kebanggaan seluruh Bangsa Johor, kumpulan Exists turut akan mencipta sejarah baharu dalam AMK 2.0 yang akan bermula dari pukul 3 petang sehingga 12 malam.


Pengarah Eksekutif CoAction, David Emir Baring berterima kasih kepada rakan kongi strategik festival tersebut, seperti pihak Tourism Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Visit Johor dan juga rakan kongsi media, Astro Malaysia Holdings kerana turut bersama menjayakan festival tersebut.

Untuk Exists, menyertai Festival AMK 2.0 adalah seperti ‘menunaikan kewajipan’ kembali ke negeri kelahiran, Johor lalu menghiburkan peminat mereka yang bukan hanya dari Malaysia tetapi Indonesia dan Singapura.


Selain daripada persembahan yang hangat, festival ini juga akan menampilkan festival makanan dari MaQan Space untuk memuaskan pelbagai citarasa pengunjung, menawarkan pengalaman gastronomi yang melengkapi suasana festival ini.

Harga tiket adalah seperti berikut:
  • RM229 (CHILL ZONE FREE SEATING)
  • RM229 (GALAU ZONE FREE STANDING)
  • RM369 (ROCK ZONE FREE STANDING)
  • RM569 (ROCK ZONE + VIP LOUNGE ACCESS)


Tiket boleh dibeli menerusi platform www.ticket2u.com.my Jadi, jangan sampai terlepas peluang bersama-sama mencatat sejarah baharu dan menikmati keghairahan dalam Festival Aku. Muzik & Kamu 2.0 di Stadium Olahraga Mount Austin, Johor Bahru pada 8 Jun 2024.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...