Assalamualaikum dan salam sejahtera
Kita sebagai rakyat Malaysia yang menetap di Malaysia kena selalu bersyukur kerana untuk dapatkan makanan berstatus halal boleh di cari di mana sahaja. Teringat pula kenangan duduk di negara luar sewaktu ketika dahulu. Nak cari makanan Halal begitu payah sekali sehinggakan perlu travel jauh. Di Malaysia, yang rata-ratanya beragama Islam dan Islam agama rasmi negara, maka mudahlah untuk kita dapatkan makanan atau produk berstatuskan Halal.
Namun begitu, sebenarnya tak ramai yang cakna akan banyak kewujudan produk makanan Halal dari peusahaaan mikro, kecil atau sederhana. Oleh itu, kempen yang berbunyi "Jadikan Halal Pilihan Utama Anda" anjuran Halal Development Corporation Berhad (HDC), telah diwujudkan bagi meraikan 500 usahawan Halal dari sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Ini merupakan salah satu program di bawah Inisiatif Bajet 2022 yang dilacarkan minggu lalu. Kempen ini juga telah mendapat kerjasama dari pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi agensinya, HDC dan Kementerian Kewangan (MOF) menerusi Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA).
Kempen ini diharap dapat melonjakkan pertumbuhan industri Halal ke tahap yang lebih tinggi, dengan menyasarkan peningkatan penjualan purata syarikat halal PMKS antara 20%-30% sepanjang tempoh kempen dari April hingga Julai 2022.
Kempen ini terbahagi kepada dua kagetori, iaitu yang pertama, Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS di pasaraya-pasaraya besar. Oleh itu, bagi menjayakan kempen kategori ini, HDC telah menjalinkan kerjasama dengan Lulu International Group dan Lotus’s Store (Malaysia) Sdn. Bhd.
Kempen di Lotus's bermula 28 April manakala kempen di LuLu Hypermarket bermula sejak 22 April yang lalu. Sewaktu kunjungan aku ke LuLu Hypermarket Capsquare KL baru-baru ini, memang cukup meriah kempen "Jadikan Halal Pilihan Utama Anda" ini. Dapat menyaksikan pelbagai produk makanan dari usahawan PKMS di rak-rak pameran.
Anda boleh saksikan sendiri produk-produk PKMS yang terdapat di LuLu Hypermarket. Dari bahan kering sehinggakan barang yang basah. Semuanya telah dipek rapi dan dihasilkan bagi memudahkan kehidupan surirumah sehari-hari. Ada produk segera dan ada juga produk separa segera. Sekiranya dilihat, memang kreatif sungguh usahawan-usahawan ini menghasilkan produk makanan yang mungkin dulu bagi kita sangat renyah untuk dibuat, tapi sekarang dengan adanya produk-produk yang segera sebegini, semua produk makanan yang renyah dapat disediakan dengan cepat.
Kategori kedua pula, iaitu Program Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS, akan melibatkan kerjasama dengan Food Panda Malaysia, penyedia platform secara dalam talian (e-commerce) dan logistik terkemuka, yang akan bermula dari 1 Jun hingga 31 Julai 2022.
Pelbagai promosi dan harga menarik bakal ditawarkan di sepanjang kempen ini, yang bermatlamat
- Meningkatkan capaian dan prestasi jualan
- Mengatasi isu jurang visibiliti produk halal tempatan yang bersaing dengan produk halal luar negara
- Meningkatkan kapasiti dan keupayaan pengeluaran produk halal tempatan.
Acara pelancaran kempen ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Lokman Hakim Ali, Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dan turut dihadiri oleh YBrs. Encik Hairol Ariffein Sahari, Ketua Pengawai Eksekutif, HDC serta wakil-wakil pengurusan tertinggi MITI dan rakan strategik kempen.
Sebagai pengguna, marilah kita sama-sama menyokong dan mendukkung usaha bagi memartabatkan produk Halal dan sekaligus membantu usahawan-usahaan PKMS. Semoha kempen Jadikan Halal Sebagai Pilihan Utama Anda oleh HDC ini mampu memberi kesan dan faedah positif dalam meningkatkan produktiviti dan hasil jualan serta daya saing industri Halal negara.
Ia dapat dilihat pengeksportan produk Halal negara mencatat peningkatan yang cukup memberangsangkan di mana peningkatan sebanyak 19 peratus direkodkan bagi tahun 2021, daripada RM30.5 billion kepada RM36.3 billion. Peningkatan ini membuktikan kepentingan industri Halal terhadap ekonomi Malaysia.walaupun berdepan cabaran Covid19. Peningkatan daripada permintaan global yang seterusnya meningkatkan aliran dagangan Halal antarabangsa dan Malaysia adalah berikutan daripada peralihan ke Fasa Endemik dan juga pembukaan sempadan antarabangsa yang bermula 1 April yang lalu.
Produk halal pilihan kita
ReplyDelete