Assalamualaikum dan salam sejahtera
Pada hari Nuzul Quran yang lalu, aku berkesempatan bersama-sama dengan warga AEON mengedarkan bubur lambuk kepada komuniti yang datang membeli-belah di pasaraya tersebut. Program Bubur Lambuk AEON Bersama Komuniti ini mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bagi bersama-sama dalam memasak dan menyediakan bubur lambuk ini sebelum diedarkan. Edaran bubur lambuk ini telah berlangsung di AEON Big Bandar Tun Hussein Onn Cheras, Selangor. Ikuti butirannya !
Bubur lambuk tersebut berjaya diedarkan kepada lebih 1200 pengunjung pasar raya tersebut dan ini bukanlah program pertama dan terakhir kerana Program Bubur Lambuk AEON Bersama Komuniti akan terus dianjurkan secara berperingkat sehingga 24 April 2022 di cawangan AEON dan AEON BiG di seluruh negara. Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif kelestarian
negara, AEON Sayap Bagimu dengan aspirasi untuk menyokong satu sama lain,
berkongsi rezeki dan mengukuhkan kerjasama dengan komuniti dan ekosistem
AEON.
Menurut Dr. Kasuma Satria Mat Jadi, Ketua Pegawai Sumber Manusia merangkap
Pengarah Komunikasi Korporat, AEON, beliau rasa sangat bersyukur dapat berkongsi rezeki dengan pengunjung yang tidak jemu dan setia membeli-belah di pasar raya itu. Semoga dengan adanya program sebegini dapat mengeratkan lagi hubungan dan ukhuwah sesama manusia. Ini juga merupakan satu inisiatif untuk menzahirkan penghargaan kepada pengunjung di atas sokongan yang berterusan.
Pada majlis itu juga turut menyaksikan, Yayasan AEON Malaysia (MAF) menyumbang
pembelian pakaian baharu untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada 50 orang
anak-anak dari Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia, Kajang. Sumbangan
telah disampaikan oleh Datin Noryahwati Mohd Noh, Presiden, MAF. Majlis itu telah disempurnakan dengan pemberian duit raya kepada anak-anak bertuah ini daripada Tuan Haji
Najmuddin Jemain, Yang DiPertua, MPKj.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Datuk Iskandar Sarudin, Pengerusi, AEON;
Sheikh Farouk Sheikh Mohamed, Ketua, AEON BiG; Ustaz Dr. Fairuz Mohamad,
Nazir, Masjid Bandar Tun Hussein Onn; Datuk Haji Othman Abdul Latiff,
Pengerusi, Surau Al Amin; Tuan Haji Kamal Sahid, Pengerusi, Madrasah Cheras
Perdana; Dr. Haji Mohamad Abd Manap, Pengerusi, Surau Al-Ansar; Azman
Mohamed, Pengerusi, Surau Al Fathonah; Haji Rosmidi Mat Dah, Pengerusi, Surau
Annur Taman Kasturi; dan Haji Muzaffar Mohd Anas, Pengerusi Surau As Siddiq.
Semoga ramai lagi pihak-pihak di luar sana mengadakan program atau inisiatif sebegini bagi meraikan dan menyantuni kanak-kanak yang kurang bernasib baik dalam menyediakan mereka untuk menyambut sambutan hari raya aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi. Seronok dapat melihat wajah-wajah gembira adik-adik ini ketika di majlis tersebut. Jelas terpancar kegembiraan di wajah mereka.
No comments:
Post a Comment