Sunday, October 20, 2019

Kemeriahan Sambutan Festival Seni Selat Melaka 2019

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Festival Seni Selat Melaka merupakan sebuah program anjuran Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Jabatan Kebudayaan dan Keseniah Negara (JKKN Melaka) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka dan semua agensi di bawahnya. Ia berlangsung selama 3 hari bermula dari 18 sehingga 20 Oktober 2019 dan bertempat di Kota A Famosa yang cukup simbolik dengan nama negeri Melaka. Ikuti butirannya !


FSSM pada tahun ini bertemakan "Selat Melaka, Warisan Nusantara" yang mengetengahkan pelbagai aktviti berteraskan seni budaya, warisan, pelancongan, keilmuan, keusahawanan, gaya hidup dan pencungkilan bakat muda negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor yang mewakili negeri-negeri selatan Semenanjung Malaysia. Di samping itu, Kerajaan Negeri Melaka juga turut mengangkat program ini sebagai sebahagian daripada acara Sambutan Hari Jadi Ke-81 Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd. Khalil Bin Yaakob.

Malam Gala Selat Melaka (Acara Kemuncak dan Perasmian)


Pada Malam Gala Selat Melaka, majlis itu telah dihadiri 2 tetamu kehormat. Mereka adalah Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd. Khalil Bin Yaakob, dan Tan Sri Hajjah Norliza Rofli, Ketua Pengarah JKKN. Mereka telah berarak menaiki beca-beca oleh Persatuan Beca Warisan dan diiringi Kereta Lembu Kampung Tambak Bugis dan paluan rebana dari Persatuan Rebana Keras Klebang Besar ke tapak acara. Ketiga-tiga ini merupakan simbolik bagi negeri Melaka, Johor dan Negeri Sembilan itu sendiri. Majlis yang cukup meriah itu diserikan lagi dengan persembahan-persembahan yang unik dan cukup meriah dari tiga buah negeri selat ini.

JKKN Negeri Sembilan
  • Segmen Khabar Berusik Negeri Sembilan menampilkan Seni berbahasa pantun, Persembahan muzik cak lempong, Tari Randai dan Tari Piring Lambung

JKKN Johor
  • Segmen Bayu Muara Maharani yang menampilkan seni Ghazal, Kuda Kepang, Barongan dan juga Zapin yang disertai oleh Badan Seni Budaya dan penyanyi Rojer dengan permainan muzik gambusnya.

JKKN Melaka
  • Segmen Warnawarni Pelangi Dondang Sayang menampilkan Briged Seni Melaka, Kumpulan Kesenian Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Institut Warisan Melaka (INSWA), Gabungan Badan Seni Budaya Bukan Kerajaan Negeri Melaka, Kumpulan Tarian Singa dan Naga Wen Wei Melaka, Kumpulan Komuniti Chitty Kampung Gajah Berang, Melaka, Badan Kesenian Baba dan Nyonya Melaka (KEBAYA), Kumpulan Kesenian Perkampungan Portugis, Ujong Pasir, Melaka, Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka, Persatuan Rebana Keras Klebang Besar, Persatuan Beca Warisan Melaka, Pengusaha Kereta Lembu Kampung Tambak Bugis, Melaka, Persatuan Teo Chew Melaka, Persatuan Tamil Melaka, Persatuan Bhangra Melaka, Pusat Warisan dan Kebudayaan Melayu Melaka (PERANTARA). 


Aktiviti-aktiviti dan pertandingan yang disediakan sepanjang FSSM 2019

  • Persembahan Apresiasi Rakyat & Sisipan (Showcase) Selat Melak - Persembahan sisipan ini merupakan salah satu pengisipan program FSSM bagi menghebahkan dan memeriahkan lagi sambutan kali ini di beberapa tempat tumpuan pelancong di negeri Melaka. 
  • Bazaar Citarasa Inap Desa Homestay - Dengan kerjasama Inap Desa Negeri Melaka pula menghimpunkan gabungan lapan buah Inap Desa Negeri Melaka dengan hidangan kampung yang menyelerakan.
  • Bazaar Selat Melaka - Mempamerkan produk, demonstrasi dan jualan terdiri daripada usahawan kraftangan dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Melaka yang merangkumi usahawan hasil rimba, batik jenis ikat, celup dan pelangi, hasil produk dari tanah dan simen, tekstil, logam dan banyak lagi. Juga terdapat jualan pelbagai produk dan rawatan. Turut diadakan pameran arkeologi dari Jabatan Warisan Negara untuk memberi pendedahan pada pengunjung akan cara-cara kajian arkeologi dan eskavasi cari gali bahanbahan, artifak dan monument sejarah.
  • Retro Autoshow - Pameran Kereta Antik dan Vintaj akan dilaksanakan oleh Big Sumo Autoshow Komuniti Malaysia. Kesemua kereta vintaj dan antik ini menghimpunkan dua puluh buah kereta yang akan di pamerkan sepanjang Jalan Kota, Banda Hilir, Melaka. 


  • Pusat Transformasi Rakyat - Menampilkan sebelas agensi yang menawarkan khidmat pelbagai khidmat rakyat. Agensi yang terlibat ialah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Melaka (JPJ), Zakat Melaka, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (Klinik Pergigian Cheng ), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Pusat Pentadbiran YAPEIM Negeri Melaka & Negeri Sembilan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Telekom Malaysia (TM), Jabatan Pendaftaran Negara Melaka, Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) Melaka, Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia Negeri Melaka, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (Kementerian Kewangan Malaysia)
  • Pencungkilan Bakat Muda Selat Melaka - Menyaksikan lebih enam pertandingan utama yang dipertaruhkan iaitu Pertandingan Mini Lantai Cilik, Pertarungan Tari Joget & Zapin, Pertandingan Bintang Dondang Sayang, Pertandingan Lukisan Potret “Tun Fatimah” Serikandi Melaka, Pertandingan Cabaran Gasing Tradisional & Gasing Moden dan Pertandingan Memanah Tradisi & Memanah Bebas.
  • Sesi Keilmuan Selat Melaka - Program ini akan melibatkan beberapa acara antaranya seperti Sesi pembelajaran Gerak Asas Tari Joget & Zapin beramai-ramai dan Sesi Apa itu Puisi Rejang yang akan menampilkan Tokoh Seni Berbahasa Tuan Haji Rani Embi
  • Joget Lambak @ Melaka - Merupakan majlis Penutup kepada FSSM2019 yang akan menyaksikan beberapa pertandingan akhir dilaksanakan iaitu Pertarungan Joget & Zapin dan Pertandingan Cabaran Gasing Tradisional & Gasing Moden, Pertandingan Memanah Tradisi & Memanah Bebas serta melancarkan kempen “I LOVE MALAYSIA” Siri Melaka.


FSSM2019 merupakan satu platform dalam merancakkan dan memacu sektor industri budaya, warisan dan pelancongan di samping usaha memupuk generasi muda bersekali dalam sektor terbabit. Sokongan padu MOTAC dan JKKN dalam menyemarakkan Tahun Melawat Melaka 2019 yang dipacukan oleh Kerajaan Negeri Melaka menjadi permulaan yang baik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 yang akan datang.

Untuk sebarang maklumat lanjut dan info terkini, boleh layari laman sesawang berikut,


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...