Tuesday, November 22, 2022

Kemeriahan Program "Kita Rewang Sekampung" Anjuran MPKK Daerah Kuala Langat

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Baru-baru ini aku berkesempatan turut serta dalam satu program yang diberi nama Kita Rewang Sekampung anjuran MPKK Daerah Kuala Langat. Program ini telah berlangsung di Pantai Batu Laut selama dua hari. Di program ini, kita dapat menyaksikan beberapa aktiviti yang biasa kita lihat di kampung-kampung yang semakin hari sudah tidak dipraktikkan lagi oleh masyarakat kini. Ikuti butirannya !



Dunia arus permodenan ternyata banyak memberi impak yang positif pada masyarakat dan hidup kita. Namun, beberapa aktiviti yang diklasifikasikan sebagai traditional tidak lagi diamalkan dan sudah mula luntur dalam hidup masyarakat setempat. Bukan sahaja ia berlaku di bandar-bandar, malah masyarakat kampung juga sudah mula tidak mempraktikkan apa yang dahulunya dikategorikan sebagai sesuatu yang "biasa", namun kini agak sedikit asing untuk dilakukan.




Bahkan anak muda berasa pelik dan ganjil bila melihatnya. Ini satu perkara yang amat menakutkan apabila anak muda tidak lagi mengenali aktiviti-aktiviti ini akibat arus permodenan. Oleh kerana itu, MPKK setiap daerah di negeri Selangor merasakan perlu berbuat sesuatu untuk mengembalikan kemeriahan suasana rewang ini dan itulah yang dilakukan oleh MPKK Daerah Kuala Langat pada minggu yang lalu.



Rewang bahasa mudahnya ialah gotong-royong dalam melaksanakan sesuatu majlis keramaian. Aktiviti rewang ini biasa dilihat ketika majlis perkahwinan di kampung-kampung di mana orang kampung bergotong-royong menyediakan dan melaksanakan majlis dari zero. Baik dari segi idea, tenaga mahupun wang ringgit. Kita dapat menyaksikan ukhuwah yang erat dalam masyarakat bagi memastikan sesuatu majlis itu berjalan lancar dan sekaligus dapat membantu meringankan bebanan tuan rumah yang menganjurkan majlis tersebut. 



Program Kita Rewang Sekampung disambut meriah oleh masyarakat Batu Laut dan masyarakat di kawasan sekitar. Ramai turun padang bagi menjayakan program ini. Kita dapat saksikan orang kampung datang membantu memotong sayur, memotong buah dan memasak untuk menyediakan santapan bagi orang ramai untuk menikmatinya.




Turut dapat disaksikan beberapa aktiviti lain seperti acara berendoi, bergotong-royong, pertandingan memasak kuih tradisi, pertandingan futsal dan aktiviti mengutip sampah di persisiran pantai yang diketuai oleh Dato' Syafinaz Selamat. Majlis turut dimeriahkan dengan tarian tradisional daripada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT). Pada belah malam, pengunjung dihiburkan oleh penyanyi veteran tanah air iaitu Uji Rashid, Hermantino dan juga Shafie Rio.



Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Sudah lama rasanya tidak menyaksikan aktiviti sebegini biarpun diriku tinggal di kampung. Aktiviti rewang jarang digunapakai lagi kerana ramai lebih memilih untuk menempah katerer bagi menguruskan majlis. Setuju katerer lebih memudahkan namun kemanisan merewang memberi satu nikmat yang berbeza.


Dengan adanya program seperti ini, dapatlah kita mengembalikan memori lama dan dapat menyaksikan manisnya kemuafakatan sesama masyarakat tidak mengira kaum, bangsa dan agama. Terima kasih keluarga Gaya Travel di atas peluang ini

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...