Assalamualaikum dan salam sejahtera
Kali nie aku nak cerita pengalaman menjejaki Air Terjun Pelangi atau lebih dikenali dengan panggilan Rainbow Waterfall. Lokasi Rainbow Waterfall ini terletak di Sungai Lembing Pahang. Lebih kurang 30-40 minit dari bandar Kuantan. Ikuti butirannya !
Aku rasa, pembaca-pembaca Jejakakaula sudah sedia maklum, bahawasanya my friend and i sangat sukakan konsep Know Know Arrived. Ini juga berlaku untuk trip ke Sungai Lembing ini yang mana kami memang tak merancang langsung untuk ke sini. Kebetulan masa kami ke sini, sedang cuti panjang sempena Tahun Baru Cina. Bosan tak tahu buat apa, sajalah pergi ke Kuantan.
Memang tak ada motif pon nak ke Kuantan. Kalau tempat aku dah pernah terokai, aku jadi malas nak pergi lagi. Tambah-tambah pergi ke tempat yang sama dalam waktu yang terdekat. Tapi sebab memang tak ada hala tuju, so Kuantan macam kedengaran nice. Maka pergilah kami ke sana on the spot. Packing apa yang ada je. Sampai Kuantan pon langit dah gelap weyhh.
On the spot kami cari hotel. Oleh kerana tengah musim perayaan a.k.a cuti sekolah, hotel semua penuh weyhh. Nak menginap dekat mana nie ? Cari punya cari, jumpalah satu hotel. Bersyukur sangat dapat hotel masa nie. Lesson learned, jangan know know arrived semasa musim perayaan/cuti sekolah.
Malam tu, dekat hotel terus kami buka tiktok untuk tengok tempat-tempat menarik sekitar bandar Kuantan. Nak terjah tempat yang kami tak pernah pergi lagi. Maka terjumpalah kami dengan Sungai Lembing. Tak jauh pon dari bandar Kuantan. Lebih kurang dalam 30 - 40 minit drive. Terus cari tempat penginapan untuk menginap dekat Sungai Lembing untuk dua malam.
Besoknya lepas check out, jalan-jalan sekejap sekitar bandar Kuantan. Macam aku cakap tadi, tak ada mood nak explore Kuantan sebab baru je pergi Kuantan masa nie. Pergi tempat mana yang wajib je seperti Kula Cakes. Lahh !
Tengah dok berjalan tu, sekali terserempak dengan rakan sekerja pulak dekat sini. Random sangat boleh terjumpa kawan kerja aku dekat sini. Walhal baru je baca ucapan Tahun Baru Cina dia dekat dalam group whatsapp office. Tup tup ada depan mata.
Oleh kerana waktu check in jam 3 petang, dan most likely tak ada aktiviti yang boleh dibuat bila dekat Sungai Lembing, makanya kitorang habiskan masa dekat bandar Kuantan. Makan celup tepung tepi pantai sambil ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Berangin betul Kuantan masa nie. Siap sempat bawa kerusi healing dekat pantai sambil feeling-feeling macam tengah heartbroken. Lahh !
Lepas dah selesai healing dekat pantai, terus kami bertolak ke Sungai Lembing. Kitorang akan spend 2 malam dekat Sungai Lembing. Yang gilanya tu, kitorang menginap dekat dua tempat yang berbeza demi untuk merasai pengalaman menginap yang berbeza. Satu malam tidur dalam kabin dan satu malam tidur dalam tube. Dua tempat penginapan nie sangat disarankan untuk inap kalau singgah Sungai Lembing.
T-BOX Sungai Lembing
Kami menginap dekat dalam kabin. Macam tempat tidur Nobita dan Doraemon. Sesuailah untuk backpackers atau mereka yang nak bercuti secara bajet. Satu kabin ada 6 bilik. Untuk mereka yang ada phobia dengan kawasan sempit, sangat tak digalakkan menginap dekat sini.
Kalau pergi secara berkumpulan nie mesti best dan riuh satu kabin. Masa kitorang datang nie, literally macam kitorang berdua je dekat tempat penginapan nie. Senyap sunyi ya keadaan sekeliling bila dah malam. Takut pon ada. Settle kan makan dan solat, lepastu duduk jelah dalam kabin dan kunci pintu. Pintu kabin guna passcode untuk masuk. Tapi untuk bilik dalam kabin, pon ada kunci. Jadi rasa selamat lah kalau korang jenis tidur mati. Tak adalah orang menyelinap masuk malam-malam.
Saiz bilik dalam kabin nie muat satu tilam single dan meja sisi. Tak besar tapi just nice untuk saiz seperti aku nie. Kalau badan besar, mungkin rasa sesak sikit kot. Korang boleh pilih nak tingkat bawah atau tingkat atas. Aku sudah semestinya nak tidur bahagian atas. Kitorang literally boleh pilih mana-mana je bilik dalam kabin nie sebabnya tak ada orang lain. Hahahaha
Bila nak tidur tu, boleh kunci pintu dan tutup langsir supaya tak ada yang dok mengintai dekat tingkap. Tak ke seram kalau ada orang mengintai malam-malam. Dinasihatkan supaya mandi dan buang apa yang patut dekat bilik air awal-awal supaya bila tengah malam tak rasa nak ke tandas. Tandas dia dekat je dengan kabin tapi nak berjalan ke sana tu agak seram sebabnya keadaan sekeliling yang sunyi sepi. Tak ada orang langsung.
Bilik solat ada disediakan di salah sebuah kabin yang kosong. Bilik kabin untuk solat nie jenis yang lain pulak. So korang bolehlah tengok website T-Box Sungai Lembing untuk melihat jenis-jenis bilik yang ditawarkan. Macam-macam jenis dan semuanya jenis compact. Chalet pon ada juga dekat sini. Tapi sebab nak rasa kelainan, kita pilih untuk tidur dalam kabin.
T-Box Sungai Lembing
EB 33, Jalan Sungai Lembing, 26200 Sungai Lembing, Pahang
Tel : 010 - 288 2993
Harga bilik kabin : RM36/adult
Pakej ke Rainbow Waterfall, Sungai Lembing
Untuk pergi ke Rainbow Waterfall, korang kena ambil pakej. Kena pergi dengan agent. Tak boleh pergi sendiri sebabnya korang kena naik pacuan 4 roda untuk masuk ke dalam tu. Jalan dia penuh onak dan liku. Bukan jalan tar ya, jalan masuk air pon ada tau. Memang kena ambil dengan agent untuk masuk ke kawasan Rainbow Waterfall. Kawasan nie tertutup, jadinya lupakan kalau korang berniat nak datang sendiri. Memang tak dapat dikk nonn.
Untuk memudahkan korang, dekat T-Box Sungai Lembing tu, korang cakap je nak pergi ke Rainbow Waterfall besok pagi. Nanti receptionist tu akan aturkan dengan agent yang bawa pengunjung ke situ. Tambahan pula, T-Box Sungai Lembing nie juga merupakan salah satu tempat pick up penumpang. So korang tunggu je dekat lobby, nanti dorang datang pick up. Tolonglah punctual ya sebab dorang tak tunggu, datang dan terus naik kereta.
Harga ke Rainbow Waterfall : RM60/dewasa
Untuk pengetahuan korang, trip ke Rainbow Waterfall nie hanya satu kali sahaja untuk sehari. Tiada ber-trip-trip ya. Sebabnya pelangi tu akan keluar bila air terjun tu kena cahaya matahari dan cahaya matahari yang kena bahagian tu hanyalah untuk beberapa jam sahaja. Sebab tu trip ke Rainbow Waterfall nie akan dibatalkan sekiranya hari hujan sebab pelangi tu takkan keluar kalau tak ada matahari.
Korang kena banyak berdoa supaya waktu korang pergi tu tak hujan. Untuk pengetahun korang juga, Sungai Lembing merupakan kawasan menerima hujan paling kerap di Malaysia biarpun bukan musim hujan. Sebab tu korang kena banyak berdoa. Semoga tuah berpihak pada korang. Alhamdulillah pagi tu, memang hujan rintik-rintik tapi bila langit semakin cerah, hujan mula berhenti.
Sebelum bertolak tu, dorang singgah tempat sarapan terlebih dahulu. Lepas dah sarapan, baru bertolak. Sarapan nie duit masing-masing ya. Tak termasuk dalam pakej. Lokasi pertama, mereka akan bawa pergi ke Sunrise Hill untuk tengok matahari terbit. Tapi masa nie matahari segan silu nak keluar. Makanya tak dapat tengok. Tak apa, asalkan tak hujan. Kat sini cantik untuk bergambar. Ambillah gambar banyak-banyak bila dekat sini. Tapi akan jadi spoil kalau ramai sangat orang.
Setelah satu jam naik pacuan 4 roda nie, akhirnya kami sampai ke titik permulaan untuk mendaki ke Rainbow Waterfall. Sakit bontot ya dibuatnya sebab jalan dia sangatlah ekstrem. Berlumpur-lumpur. Sangat dinasihatkan untuk pakai kasut yang sesuai sebab korang kena redah sungai untuk mulakan pendakian tu. Ya, kena mendaki sikit untuk sampai ke Rainbow Waterfall. Dalam 20 minit mendaki. Mencabar sebab berbatu-batu dan korang literally kena melawan arus air terjun. Tapi bagi aku okay-okay je, tak ekstrem pon. Tak tahulah pendapat korang macam mana. Bagi aku ianya adalah easy hiking.
Bila dah sampai puncak tu, ya Allah indah sungguh. Tenang je rasa. Bunyi air terjun tu sangat kuat ya, sampaikan nak bercakap pon kena menjerit-jerit. Air dia pon boleh tahan sejuk. Air memang akan sentiasa terpercik. Walaupun tak masuk dalam air, korang tetap akan basah sebab percikan air tu.
Pelangi nie akan muncul sekejap-sekejap. Lepastu hilang, then muncul semula. Kena ambil gambar cepat-cepat dan pastikan bckground korang tidak diganggu orang lain lah. Baru cantik hasil gambar tu nanti. Masa kami pergi nie, tak ramai orang pon. Kurang dari 20 orang. Senang sikitlah nak bergambar.
Ouh ya, pakej nie termasuk makanan yang disediakan oleh pemandu pelancong yang bawa kami ke air terjun nie. Perkakas masakan semua memang dorang dah stand by awal-awal dekat atas nie. So bila sampai tu, dorang tinggal masak air, dan bagi maggi cawan dekat kami semua beserta air milo panas. Tak adalah lapar, perut korang terisi walaupun cuma maggi je. Jadilah buat alas perut sementara ada dekat atas nie.
Kat atas tu lebih kurang dalam 1 jam lebih. Cukuplah masa untuk bergambar dan makan semua. Nak lama-lama sangat dekat atas nie pon tak ada guna sebabnya pelangi hanya muncul pada waktu yang tertentu sahaja. Dalam jam 10 pagi hingga 12 tengahari bila matahari lalu situ. Itupun hilang-hilang.
Trip nie dari jam 6 pagi sampailah jam 4 petang. Kitorang sampai T-Box Sungai Lembing tu dekat jam 4 petang. Pihak T-Box okay je kalau korang check out lambat. Dorang memang sedia maklum pon. Mungkin sebab tak ramai yang menginap dekat sini masa tu, jadinya dorang tak kesah. Tak ada charge extra pon check out lambat. Kalau waktu peak season, aku tak tahulah ya.
Time Capsule, Sungai Lembing
Sampai je T-Box, kitorang terus check out tanpa mandi or bersiap. Barang memang dah packing and masuk dalam kereta sebelum pergi ke Rainbow Waterfall pagi tu. Kitorang mandi lepas check in dekat Time Capsule nie. Penginapan untuk malam kedua kami di Sungai Lembing ialah di Time Capsule. Capsule nie ada dua jenis, satu ada tingkap, satu lagi tak ada tingkap. Yang ada tingkap, ada view hutan. Kami punya capsule tak ada tingkap sebab masa book tu memang tinggal satu unit je. Nama pon last minute, jadinya terimalah apa adanya.
Keluasan dia not bad, muat tilam queen. Just enough space untuk letak luggage bawah tilam dan juga sisi kita. Mujurlah dorang bijak letak aircond dekat dengan pintu masuk instead of atas kepala. Risau juga kalau aircond betul-betul atas kepala. Silap-silap haribulan, boleh benjol kepala kalau benda tu jatuh.
Ada satu kapal terbang terbengkalai dekat dengan Time Capsule nie. Tak tahulah sama ada itu salah satu hiasan untuk menjadikan Time Capsule nie menarik atau memang kapal terbang tu terhempas dekat situ. Yang pasti, kawasan nie jadi kotor dan semak samun. Risau jugak nak datang dekat. Takut ada ular. Serius kawasan nie kotor. Tak ada inisiatif nak bersihkan ke acane ?
Puas hati juga menginap dekat sini. Tandas pon bersih dan tak jauh dari capsule-capsule nie. Masa awal-awal viral dulu, tempat nie cantik dan bersih je. Sekarang dah banyak lumut-lumut.
Time Capsule @ Sungai Lembing
EB4 Belakang Sekolah Menengah Sungai Lembing, 26200 Kuantan Pahang
Telefon : 013 - 963 8888
Capsule no window : RM154.22/malam
Apa lagi nak buat bila berada di Sungai Lembing ?
- Seduh Kopi
Ada jugalah kedai kopi dekat Sungai Lembing nie. Jadilah daripada tak ada. Rasa dia okay-okay je. Jangan lupa singgah okay. Makan dengan roti bakar panas-panas. Memang ngam !
- Warung Warisan Citarasa Ayie
Tempat makan dekat Sungai Lembing nie agaklah terhad. Tapi korang boleh singgah makan dekat Warung Warisan Citarasa Ayie. Sungai Lembing nie bila dah malam, ibarat macam kampung yang mati. Semua kedai tutup. Tapi warung nie, masih buka bila malam dan meriah dengan pelanggan-pelanggan. Mungkin sebab warung dorang je yang buka, sebab tu semua serbu warung nie kot. Makanan dorang sedap je. Dua malam kitorang dekat Sungai Lembing, dua malam tu juga kitorang makan dekat sini.
- Jambatan Gantung (Kolong Pahat)
Tak sangka dekat Sungai Lembing nie ada satu jambatan gantung. Tak jauh daripada T-Box Sungai Lembing tu. Salah satu tempat yang disarankan untuk kunjungi bila berada di Sungai Lembing.
Ada lagi tempat yang dorang sarankan, antaranya ialah muzium dan juga kawasan lombong. Tapi kitorang tak pergi sebab hujan manjang dekat Sungai Lembing nie. Tak sangkalah sebenarnya banyak aktiviti yang boleh dibuat dan tempat yang boleh dilawati di Sungai Lembing nie. Ia bukanlah sekadar sebuah kampung kecil. Buat mereka yang nak healing hujung-hujung minggu, bolehlah datang ke Sungai Lembing.
Sebelum balik Kuala Lumpur, wajiblah singgah celup tepung dulu. Takut mengidam pulak bila balik nanti. Celup tepung pilihan kami kalau datang ke Kuantan sudah pastilah Celup Tepung Hujung Tanjung.
Terima kasih baca pengalaman aku terokai Sungai Lembing. Nanti korang masukkan Sungai Lembing dalam senarai lokasi untuk dilawati tahun 2024 tau !
No comments:
Post a Comment