Friday, November 17, 2023

Jelly Belly Pertaruhkan Lagu "Asmara" Buat Single Sulungnya

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Pengaruh media sosial masa kini banyak mempunyai impak dalam kehidupan kita sehari-harian, di antara konten-konten yang biasa dilihat adalah sifat suka tolong-menolong sesama manusia, bintang TikTok popular, bersifat dermawan dan sering berperwatakan ‘happy-go-lucky’, Jelly Belly muncul dengan single sulung berjudul ‘ASMARA’ ciptaan komposer terkenal dan berpengalaman, Sharon Paul, dan diterbitkan oleh Bertuah Business.


“Alhamdulillah, ibarat mimpi menjadi kenyataan apabila akhirnya saya mempunyai single sendiri. Tiada yang mustahil jika kita betul-betul mempunyai impian dan bekerja keras demi mencapainya,” kongsi pemilik nama sebenar, Abdul Jalil Ikram A. Hamid, 33.


Single berona galau dalam nuansa balada pop ini menceritakan tentang perasaan cinta yang mendalam terhadap seseorang yang dikasihinya tetapi kekasih hatinya telah pun berubah hati, namun masih lagi mengharapkan kasih tersebut berulang kembali. Jikalau pendengar semua amati, bait liriknya sangat meruntun jiwa hati seorang kekasih yang meronta-ronta meminta untuk kembali, ditambah pula dengan kelunakan suara Jelly Belly yang ‘serak-serak basah’ seakan-akan penyanyi terkenal Indonesia, Chakra Khan.

Di kalangan pengguna TikTok, nama Jelly Belly bukanlah sesuatu yang asing, dia sering memuat naik konten-konten berupa kemanusiaan dengan berkongsi rezeki bersama peniaga-peniaga kecil dan menghulurkan bantuan buat mereka yang memerlukan.


Selain bersifat dermawan, Jelly Belly sebenarnya mempunyai bakat yang besar dalam bidang nyanyian, banyak pertandingan nyanyian yang telah disertainya dan memenangi tempat pertama. Perjalanan seninya bermula ketika menyertai pertandingan pencarian bakat Asia’s Got Talent 2018 mewakili Malaysia.

Kini, Jelly Belly mengorak setapak lagi sebagai seorang penyanyi profesional dengan terlahirnya single ASMARA ini, dan semoga kerja-kerja kebajikan yang dilakukannya semakin berkembang, dan lebih banyak lagi pertolongan yang akan dihulurkan. Akhiri Jelly Belly: “Semoga single ini dapat membuktikan bahawa Jelly Belly bukanlah hanya seorang ‘content creator’ semata-mata tetapi mampu juga menyanyi dengan baik. Saya berharap agar lagu ASMARA dapat diterima ramai dan nantikan karya-karya saya yang seterusnya.


Lagu ASMARA boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer. Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube Werkit Records.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...