Sunday, August 9, 2026

Program Kerjasama Hotel Doubletree by Hilton Putrajaya Lakeside Bersama Kraftangan Malaysia Bersempena Sambutan Kemerdekaan

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor dan Wilayah Persekutuan (KMCSWP) terus memperkukuh usaha memartabatkan seni kraf dan warisan budaya tempatan menerusi kerjasama strategik bersama Hotel DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside melalui kempen “Tribute to Malaysian Heritage”, sempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia 2026. KMCSWP bertindak sebagai penyelaras bagi kerjasama ini yang bukan sahaja mengetengahkan keunikan produk kraf tempatan, malah membuka ruang lebih luas kepada usahawan kraf untuk meneroka peluang pasaran dalam industri hospitaliti.


Majlis Makan Malam dan Media Preview

Sempena kempen ini telah berlangsung pada 21 Julai 2026 (Selasa) dan dihadiri oleh Yang Berusaha Encik Abdul Halim bin Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, serta Yang Dihormati Encik Ian Barrow, Pengurus Besar Hotel DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside.


Kempen “Tribute to Malaysian Heritage” akan berlangsung dari 21 Ogos hingga 26 September 2026, melibatkan penyertaan usahawan kraf di bawah KMCSWP. Inisiatif ini menjadi platform strategik untuk mengetengahkan produk kraf tempatan kepada pelancong serta pengunjung hotel, sama ada dari dalam mahupun luar negara.


Melalui penyertaan ini, para usahawan kraf bukan sahaja berpeluang menjana pendapatan dan memperluaskan rangkaian perniagaan, malah dapat meneroka pasaran baharu dalam industri hospitaliti yang mempunyai potensi tinggi. Pada masa yang sama, penglibatan ini turut membantu meningkatkan keterlihatan produk kraf Malaysia kepada segmen pelanggan yang lebih luas.


Pelbagai Aktiviti Meriahkan Kempen

Sepanjang program berlangsung, para pengunjung berpeluang menikmati pelbagai aktiviti yang mengetengahkan keunikan seni, budaya dan warisan Malaysia. Antaranya termasuk jualan produk kraf, demonstrasi dan aktiviti interaktif kraf, permainan tradisional, serta pameran “Ini Kraf Malaysia”.




Pameran dan aktiviti tersebut akan diadakan pada setiap hari Jumaat dan Sabtu, bermula jam 11.00 pagi hingga 9.00 malam, sekali gus memberikan peluang kepada pengunjung untuk mengenali dengan lebih dekat hasil kreativiti dan kemahiran usahawan kraf tempatan.




Kerjasama strategik ini bukan sahaja memperkukuh usaha mempromosikan produk kraf tempatan, malah menyokong pembangunan ekonomi usahawan kraf melalui pembukaan akses kepada pasaran baharu dan peluang komersialisasi produk.



Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kraftangan Malaysia dan Hotel DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside dalam mengangkat seni kraf tempatan sebagai sebahagian daripada pengalaman budaya Malaysia yang autentik, bernilai tinggi dan dekat dengan masyarakat.



Tribute to Malaysian Heritage: Sajian Warisan Malaysia

Selain mengetengahkan seni kraf, kempen “Tribute to Malaysian Heritage” turut membawa pengunjung menyelusuri kekayaan warisan kulinari Malaysia menerusi Malaysian Dinner Buffet yang berlangsung dari 21 Ogos hingga 26 September 2026, pada setiap hari Sabtu dan Ahad, dari 6.30 petang hingga 10.00 malam.


Antara hidangan yang boleh dinikmati termasuk Nasi Tupang, Singgang Ikan, Ayam Percik Kelate, Sambal Goreng Jawa, Gulai Jering, Nasi Briyani Gam, Assam Pedas, Ikan Pekasam dan Laksa Kedah. Hidangan yang pelbagai ini menawarkan peluang kepada pengunjung untuk mengenali dan menikmati kepelbagaian makanan tradisional Malaysia dalam satu pengalaman santai bersama keluarga dan rakan-rakan.



Dengan harga RM148 nett bagi dewasa dan RM74 nett bagi kanak-kanak, para pengunjung berpeluang menikmati pelbagai sajian tradisional yang mengetengahkan cita rasa unik dari pelbagai negeri dan wilayah di Malaysia.


Lebih daripada sekadar pengalaman menjamu selera, “Tribute to Malaysian Heritage” merupakan sebuah inisiatif yang menyatukan elemen kraf, budaya dan gastronomi dalam meraikan kekayaan warisan Malaysia. Kerjasama ini diharap dapat terus membuka ruang kepada produk dan karya tempatan untuk dikenali dengan lebih luas, di samping memperkukuh kedudukan seni kraf dan warisan Malaysia dalam sektor pelancongan serta industri hospitaliti.


Malaysian Dinner Buffet
Tarikh: 21 Ogos – 26 September 2026
Hari: Sabtu & Ahad
Masa: 6.30 petang – 10.00 malam
Harga: RM148 nett (Dewasa) | RM74 nett (Kanak-kanak)

No comments:

Post a Comment