Assalamualaikum dan salam sejahtera
Kali nie aku nak cerita pengalaman pergi ke Cambodia. Macam biasa, aku plan last minute. Beli flight seminggu sebelum, lepastu plan ala kadar then terus naik flight. Matlamat utama hanyalah nak pergi ke Angkor Wat sahaja. Itu je the ultimate goal of visiting Cambodia. Yang lain tu tambahan je. Ikuti butirannya!
Masa nie aku baru je tukar tempat kerja. Join 1 December 2025. Jadinya, cuti aku untuk tahun 2025 adalah prorated. Ada dalam 3 hari macam tu. So memang aku nak carry forward je cuti tu dan tak plan apa-apa. Tapi bila tengok gaya, macam tak ada siapa-siapa akan cari aku hujung tahun tu memandangkan semua orang pergi holiday. Aku pon apa lagi, beli tiket flight, tempah itu ini, terus pergi. Memang betul weyhh, sepanjang seminggu aku dekat Cambodia, tak ada sesiapa pon cari aku. Email dan chat kosong. Aku buka laptop once in a while je. Hahahaha.
29 December 2025
Bertolaklah aku ke Phnom Penh dengan menaiki Malaysia Airlines jam 9 pagi. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 jam 50 minit. Ya, sangat sekejap. Aku ingatkan dalam 3 jam macam tu, rupanya 2 jam pon tak sampai. Sampai Phnom Penh jam 9.50 pagi macam tu. Waktu dorang lambat sejam dari negara kita.
Mendaratlah aku dekat lapangan terbang Cambodia yang baharu iaitu Techo International Airport. Sangat cantik dan besar ya airport baru nie. Tapi tak ramai orang sangat untuk keluasan sebesar itu. Masa nie, berlaku pergolakan antara Cambodia dengan Thailand. Jadinya bila aku upload video mengagumi senibina Techo International Airport nie, maka ramailah orang-orang Thailand "serang" video aku tu. Masalahnya aku tak ada kena mengena, aku nie cuma pelancong je. Tapi tak tahu kenapa benak sangat orang-orang Thailand dekat komen tu. Lantak koranglah sana. Benak ubi.
Lepastu aku naik bas dari airport menuju ke pusat bandar. Sumpah murah gila naik bas tapi korang kena ada duit cash kecil. Masalahnya aku tak ada dan aku secara haramnya naik bas tu secara percuma. Oppsss. Aku ingat itu je kenderaan aku naik free, rupanya naik grab motor pon aku tak bayar. HAHAHAHAHA.
Bas tu sampai pusat bandar je, tak sampai dekat hotel aku. Jadi, dari station bas aku turun tu, aku order grab motor. Mind you that aku nie teramat jarang sekali buka aplikasi Grab. Aku memang tak naik grab langsung dekat Malaysia dan aku tak pernah order Grabfood whatsoever. Aku hanya menggunakan Grab bila dekat luar negara je. Tu pasal aku tak tahu sama ada aku dah bayar ke belum. Aku ingat dia auto deduct. Rupanya kan, kena bayar cash, tapi aku tak bayar pon abg grab tu. Masalahnya abg Grab tu pon diam je tak cakap apa-apa. So aku ingat dah bayar. Sekali bila dah settle down semua, aku cek lah receipt yang aku terima dekat email, eh tulis cash. Maksudnya aku tak bayar abg Grab tu. Lol!
Harga hotel dekat Cambodia nie SubhanaAllah murah betul ! Satu malam dalam RM40 ringgit je dah dapat bilik saiz besar, katil queen dengan attached bathroom. Aku menginap dekat Sky Hotel. Betul-betul dekat dengan Royal Palace. Jalan kaki 5 minit dah sampai. Lokasi hotel aku nie sangat best. Dekat dengan semua benda. Restoran Halal beberapa langkah je.
Walaupun aku sampai agak awal, tapi aku tak pergi mana-mana pon sepanjang satu hari nie. Dah sampai hotel aku rehat-rehat dan bermalasan. Malam baru aku keluar cari makan dan beli coffee. Itu je. Waktu nie macam di ambang tahun baru, jadinya malam-malam sangat hidup. Tambah-tambah tempat aku emnginap nie, tempat laluan untuk pasar dan lokasi malam tahun baru yang ada ramai-ramai orang buat jualan. Jadi macam meriah sikit.
30 December 2026
Hari kedua aku dekat Phnom Penh barulah aku keluar dari bilik hotel untuk berjalan-jalan kawasan sekitar. Belah pagi tu, aku berjalan kaki menuju ke Royal Palace. Macam yang aku cakap, Royal palace nie walking distance je dari hotel aku. Aku pergi belah pagi masa awal-awal Royal Palace nie buka sebab aku tak nak datang time crowded. Plus, bila dah tengahari, panas dia tak boleh bawa bincang. Masuk sini harga tiket adalah sebanyak 10 USD atau 40,000 Riel. Sama je nilainya. Kalau kau ada duit USD, kau bayar USD. Kau ada duit Riel, kau bayar Riel.
Aku ingat, aku akan berada dalam Royal Palace nie sekejap je, sekali kelamaan pula. Tak tahulah aku buat apa dalam tu sampai berjam-jam. Aku rasa dekat 2 jam aku dalam nie. Betul-betul manfaatkan harga tiket 10USD tu. For me agak pricey lah harga tiket untuk tengok benda yang aku tak rasa macam menarik minat aku sangat. Tapi sebab dah sampai sini kan, dan hotel aku literally sebelah je dari Royal Palace nie, takkanlah tak pergi.
Royal Palace nie merupakan tempat raja Cambodia ditabalkan. Jadinya, raja tu hanya akan jejak sekali je seumur hidup dia dalam nie iaitu pada hari pertabalan. Royal Palace nie dijadikan tempat hari pertabalan sahaja. Dan lebih menarik lagi, dalam tu semuanya disaluti emas tulen. Sebab tu, pengunjung hanya boleh melihat dari luar/jauh sahaja. Tak boleh masuk pon dalam dewan pertabalan sebab semuanya emas tulen.
Senibina Royal Palace nie memang cantik. Even bangunan sekeliling pon mempunyai senibina yang sama. Ala-ala senibina Thai macam tu. Dorang kan macam serumpun sedikit dari segi kebudayaan dan cara. Mungkin sebab tu kot banyak ciri yang sama. And yet, bergaduh. Kbye.
Selesai je aku jelajah Royal Palace tu, aku terus cari kedai sewa motor sebab aku nak berjalan-jalan dengan mudah. Tempat-tempat menarik dekat Cambodia nie jarak dia boleh tahan jauh-jauh. Jadinya, lebih praktikal kalau kau sewa motor berbanding naik grab sepanjang masa. Jimat pon jimat bila sewa motor. Dah dapat je motor, langkah aku makin panjanglah.
Tempat seterusnya aku tuju ialah The Independence Monument. Monument nie terletak dekat roundabout. Betul-betul dekat tengah-tengah kesibukan jalanraya. Nak parking susah sikit sebab kau tak boleh sembarangan parking, risau kena saman. Akulah risau kena saman, tengok orang-orang local selamber je parking tepi-tepi. Aku parking juga dekat tepi-tepi masa nie sebabnya literally no parking spot yang berdekatan. So kena ambil gambar cepat-cepat.
Then, bersebelahan Independence Monument nie, ada monumen raja dorang pula. Walaupun bersebelahan, tapi kalau kau jalan kaki, lecak dik ketiak. Dengan panasnya lagi, fuhh. Masa nie aku dapat parking dekat tempat selamat. Aku parking dekat kedai makan tepi jalan sekejap. Jadi aman sikit rasanya nak bergambar. Tak lama pon bergambar, dah dapat shot yang okay, terus blah. Panas dikk dekat tengah-tengah tu. Nak lama-lama buat apa.
Seterusnya, aku menapak lebih jauh lagi. Ambil masa dalam 20 minit perjalanan. Aku nak pergi ke cawangan Starbucks yang significant sebab senibina cawangan Starbucks nie merupakan senibina masyarakat Cambodia. Wajiblah aku datang kan walaupun aku lebih prefer minum kopi dekat kedai local kalau ke luar negara.
Tak jauh dari Starbucks nie, aku terus menuju ke satu kawasan yang diberi nama The Elysse. Tempat nie literally tempat biasa-biasa je tapi senibina dan vibe dia tu ibarat macam kau dekat bandaraya Paris. Bolehlah feeling-feeling sekejap dekat sini. Nak sampai Paris macam lambat lagi.
Masa aku dekat the Elysse nie, dah nak hujung-hujung petang. So dapatlah tengok matahari yang nak terbenam. Cantiklah view dari sini dengan cahaya matahari hampir terbenam. Tapi aku tak lama sangat dekat tempat nie, sebab hari dah nak gelap dan aku berada agak jauh dari tempat yang aku inap. Walaupun aku consider diri aku nie berani, tapi tetaplah kena berhati-hati. Aku pon balik ke bandaraya Phnom Penh semula.
Time nak balik nie yang buat jantung aku hampir luruh sebabnya motor aku semput-semput macam nak mati. Aku sangatlah risau. Aku terus call tempat aku sewa tu, then dorang suruh datang ekdai and tukar motor. Tapi kedai dorang dah nak tutup dan aku literally ada lebih kurang dalam 40 minit macam tu sebelum kedai dorang tutup. Kalau tidak, aku kena tunggu kedai dorang buka besok. Aku pon cepat-cepat pergi semula ke kedai dorang. Memang aku sangat-sangat berdoa supaya motor nie tak mati time aku dalam perjalanan sebabnya jauh weyhh nak patah balik tu.
Alhamdulillah, aku sampai dekat kedai tu literally 15 minit sebelum kedai dorang tutup. Aku dapat tukar motor yang "mahal" sikit sebab dorang dah tak ada motor lain masa tu. Tak perlu tambah duit, nasib baik. Kalau suruh tambah duit memang aku akan sedikit nak marah. Tapi nasib baik dorang upgrade secara percuma je.
Asalnya, balik dari Elysse tu aku nak singgah satu masjid besar dekat Phnom Penh nie. Tapi disebabkan hal motor tu, aku terpaksalah utamakan yang itu dahulu. Lepas dah tukar motor, aku rasa macam tak apalah, kita pergi juga masjid tu walaupun hari dah gelap. Honestly speaking aku macam extra berhati-hati masa dekat Cambodia nie. Yelah, banyak berita-berita yang menakutkan. Tambah-tambah aku travel sorang, jadinya aku berhati-hati sedikit.
Dapatlah aku solat jamak Isyak Maghrib dekat masjid nie. Jumpa ramai orang Malaysia yang buat travel secara berkumpulan. Aku diam je, tak nak dorang tahu aku dari Malaysia jugak. KAH ! Semua pelancong jenis makcik-makcik dan pakcik-pakcik. Travel dengan agent naik van, comel je. Kita pulak travel solo rempit naik motor dekat negara orang. Hahahaha.
Selesai solat semua, aku terus gerak ke pasar malam Phnom Penh. Ingatkan aku nak conclude hari aku terus balik rumah lepas balik dari masjid tu. Tapi aku pergi singgah Night Market Phnom Penh nie pulak. Memang silap besar. Silap besar sebabnya aku berbelanja banyak gila ! Macam tak ingat dunia weyhhh. Macam-macam benda aku borong sebab harga dia murah namampos. Tadi punya kata tak nak balik hotel lewat-lewat malam, sudahnya berjam-jam kau habiskan masa dekat night market nie. Aku balik hotel dekat jam 11 malam. HAHAHAHA.
Night market tak apa sebab ramai orang dan dah dekat dah pon dengan hotel aku. So okay je.
Balik rumah dengan keadaan kiri kanan tangan penuh dengan hasil borongan aku. Sangat tak menyesal singgah Phnom Penh Night Market malam tu. Yelahh, bila lagi nak shopping sebab besok malam tahun baru, nak tengok bunga api so tak nak jalan-jalan sangat. Malam tu bila sampai je hotel, aku terus packing-packing luggage sebab risau tak muat. Aku nak kena naik sleeper bas pulak besok malamnya.
31 December 2026
Seawal jam 8 pagi aku dah keluar. Lokasi pertama yang aku tuju ialah Wat Phnom iaitu sebuah temple yang berusia ratusan tahun. Tak baca sangat sejarah pembinaan temple nie. Sekadar tengok-tengok kawasan sekitar je. Nak masuk sini kena bayar 1 USD je.
Lepastu aku singgah Central Market. Asalnya nak tengok-tengok je, sudahnya terbeli juga something. Ya Allah, at this point luggage aku dah macam nak meletop. Dekat sini, kau kena rajin tawaf dulu satu tempat tu sambil riki-riki harga. Lepastu baru kau bandingkan kedai mana yang murah. Kena pandai tawar-menawar. Pandai menawar, dapatlah dengan harga murah. Lepastu kalau kau pergi kedai lain dan terjumpa harga lagi murah, jangan menyesal pulak. Hahahaha
Seterusnya, aku pergi ke bus station tempat yang aku akan naik sleeper bas malam nanti. Senang kalau dah tahu tempat dia dekat mana, malam nanti tak payah tercari-cari. Terus je datang dan tunggu bas. Bas aku akan bertolak jam 2 pagi. Memang aku ambil lewat malam sebabnya aku nak tengok bunga api tahun baru dulu dekat Phnom Penh, barulah bertolak ke Siem Reap.
Patah balik ke hotel sebab nak check out. Luggage aku simpan dekat storage hotel je. Malam nanti baru datang ambil semula. Tak jauh dari hotel aku nie, ada National Museum of Cambodia. Museum nie literally walking distance je dari hotel aku. Tapi bila dah berjalan kaki ke situ, aku tak jadi nak masuk, hanya sekadar bergambar dekat luar sahaja sebabnya aku dah malas nak masuk museum lagi. Plus harga tiket 10 USD. Jadinya aku rasa macam mahal sangat untuk spend duit dekat sesuatu yang membosankan.
Lepastu aku singgah makan tengahari dekat dengan hotel aku nie, sebuah restoran Indonesia. Memang tiap kali waktu makan, aku singgah sini je. Senang, murah dan kena dengan tekak. Selesai makan, aku terus pergi ke Euro Park. Euro Park nie sebenarnya dekat dengan The Elysse. Silap perancangan aku masa tu, sebab tak atur itinerary betul-betul. Patutnya pergi sekali je. Nak datang sini agak jauh sedikit. Aku tetap pergi juga sebab dah tak tahu nak pergi mana dan aku nak penuhkan masa aku dengan tempat-tempat yang ada.
Honestly speaking, Euro Park nie tak ada apa-apa pon sebenarnya. Hanya ada landmark-landmark terkenal dunia yang di "kecilkan" skalanya. Masa aku datang sini pon, bukan ada orang sangat. Macam sebuah bandar berhantu.
Oleh kerana hari terlampau panas, aku singgah ngopi dekat local coffee shop yang cukup terkenal dekat Cambodia nie. Sana sini korang akan nampak cawangan coffee nie. Namanya Brown Coffee. Sambil tu aku buka laptop dan tengok kerja sikit-sikit. Tak ada kerja pon bila dah cek. Hahahaha.
Tak lama lepastu, aku terus pulang semula ke bandar Phnom Penh untuk pulangkan motor. Aku kena pulangkan motor sebelum jam 5 petang. Kalau tidak, ada cas tambahan. Lokasi terakhir untuk aku lawati dekat dengan hotel yang aku inap, jadi aku akan jalan kaki je menuju ke situ. Even tempat motor yang aku sewa nie, tak ada lah jauh sangat dari hotel aku. For me tak jauhlah, dalam 15 minit berjalan kaki.
Selesai pulangkan motor, aku terus menuju ke terminal feri untuk enjoy sunset cruise. Sunset Cruise nie aku book melalui Klook je. Last minute pon masih dapat slot. Kapal akan bertolak dalam jam 5 petang macam tu kalau tak silap, jadinya jam 4.30 petang macam tu, aku dah naik kapal. Bila dah book, dorang memang dah assign tempat duduk. Konsep dia redha je dapat tempat duduk dekat mana.
Dekat atas kapal ada hidangan-hidangan yang kau boleh order. Oleh kerana kita ada batasan dari segi makanan, jadinya aku tak order apa-apa. Hanya order air lepastu just enjoy the view. Tak adalah beriya rasa nak makan sangat pon.
Dalam jam 7.30 malam macam tu, sunset cruise pon selesai. Dah sampai port, aku mula berjalan kaki dan masa nie memang jalan ditutup sebab ambang malam tahun baru. Banyaklah jualan dekat tepi-tepi jalan. Ramai gila manusia masa nie. Apa-apa pon, kita cari port untuk makan malam dulu. Lapor pulak bila dah turun dari cruise tadi.
Selesai makan, cari kedai kopi untuk duduk-duduk sementara nak menunggu detik jam 12 malam. Jam 11 malam baru aku keluar berjalan-jalan semula dekat sepanjang jalan yang ditutup tu. Tengok-tengok apa yang dorang jual. Masa nie memang kena tahan nafsu daripada membeli apa-apa sebabnya luggage aku dah penuh. Aku tinggal collect dan terus naik bas je. Malas nak repacking balik.
Masa yang ditunggu-tunggu, countdown tahun baru. Dari 30 minit, menjadi 20 minit. Lepastu jadi 10 minit. Lepastu jadi 2 minit. Lepastu countdown sangkut dan tahu-tahu dah tahun baru 2026. Tak ada langsung mercun ke apa. Kena scam macam tu je semua orang. Hahahahaha. Seriously nothing weyhh. Countdown tu stuck dan orang-orang jadi tak kira pon. Lepastu semua macam confuse, eh apa jadi nie. Lepas dah 10 minit, baru semua orang redha kitorang semua dah kena scammed. Tak ada bunga api, tak ada apa-apa. NOTHING.
Dah jam 12 lebih macam tu, aku terus jalan kaki ke hotel untuk collect luggage dekat storage dorang. Then terus order grab menuju ke stesen bas. Here is another drama yang terjadi masa aku dekat Cambodia. Literally, tak ada satu pon grab yang nak pick up order aku sebabnya malam tahun baru, jadinya dorang nak mark up harga kaw-kaw. Dorang tak nak ambil order through the apps. Dorang nak ambit order offline. Memang harga dia malam tu mahal gila namampos. 5 kali lebih mahal dari harga dalam apps. After 30 minit aku cuba ikhtiar juga order, sudahnya aku give up. Aku jalan kaki je menuju stesen bas tu.
Jauh memang jauh tapi nak buat macam mana, negara scammer jadinya begitulah. Aku jalan kaki selama 40 minit dari hotel aku menuju ke stesen bas dengan luggagenya. Astagha. Tuhan je tahu penat macam mana. Tapi alhamdulillah mampu je aku nak jalan kaki. Sampai dekat stesen bas ngam-ngam soi je. Ada lagi waktu dalam 40 minit macam tu. Aku memang dah siap-siap asingkan baju untuk aku tukar. Yelah, nak tidur dalam bas nak dalam keadaan selesa. Aku dah berjalan satu hari, takkanlah tak tukar baju kan. Tambah pula kau kena berjalan kaki 40 minit ke stesen bas, memang berlecak habis.
Tiket sleeper bus nie tempah melalui Redbus App. Harga sehala 18 USD. Banyak pilhan bas dan tempat duduk. Waktu berlepas pon banyak. Korang pilih ikut kesesuaian itinerary korang. Aku pilih untuk bertolak jam 2 pagi sebab aku nak tengok bunga api tahun baru dekat Phnom Penh yang kena scammed tu. HAHAHAHA
Dekat stesen bas tu ada bilik air dan tempat untuk mandi. Memang dorang built stesen bas tu macam tu sebabnya port untuk bas perjalanan jauh kan. Memang syukur gila dapat mandi masa tu, segar satu badan. Barulah selesa nak naik bas dan tidur.
So itu sahajalah cerita aku selama 3 hari 3 malam dekat Phnom Penh. Masa untuk aku naik sleeper bas menuju ke Siem Reap. Perjalanan ambil masa dalam 6-7 jam macam tu kalau tak silap. Kira sampai Siem Reap tu seawal jam 8 pagi macam tu.
Jumpa dekat entri Siem Reap pulak !


No comments:
Post a Comment