Saturday, May 31, 2025

Tayangan Perdana : Balas Balik

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Di sebalik sebuah kematian ada rahsia, di sebalik rahsia ada kebencian yang membunuh kemanusiaan. TIDAK semua kematian adalah penamat, adakala kematian menjadi jawapan yang selama ini terperangkap dalam nafas kehidupan.


Balas Balik diilhamkan daripada pemerhatian terhadap kesialan-kesialan itu yang boleh mendorong manusia hilang pertimbangan. hidup dalam acuan amarah dan dendam tidak terpadam. Biar cuba dihapuskan, kesakitan silam menjadi racun dalam darah, natijahnya tanpa sedar sedikit demi sedikit membunuh nurani dalam senyap. Itulah Balas Balik sebuah kisah dendam yang terbenih dalam jiwa.

Mengambil polemik buli tidak berkesudahan dalam masyarakat, dari situlah lahir keinginan untuk mengangkat isu berkenaan dan kesannya yang berpanjangan.

"Kita turut terasa sakit setiap kali kisah buli terpapar dalam berita dan media sosial. Jadi saya terfikir untuk menunjukkan bagaimana trauma akibat buli boleh mendorong seseorang mencari keadilan dengan caranya sendiri, yang kadangkala membawa kepada tindakan yang tidak dijangka. Apabila mahu difiksyenkan, saya pilih genre penyiasatan jenayah. Secara peribadi, itu genre kegemaran saya. Terima kasih pasukan penulis skrip saya yang sudah menjayakan idea tersebut," jelas penerbit Balas Balik, Datin Sri Shaila V.


Diterbitkan Shaibha Vision dengan skrip daripada pemenang pelbagai anugerah, Siti Jasmina Ibrahim, Balas Balik dihasilkan sebagai fiksyen penyiasatan bergaya, sebuah filem dengan genre yang jarang diketengahkan filem Melayu di pawagam tanah air.

Menjalani penggambaran selama sebulan sekitar hujung tahun 2022 di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang, Balas Balik bukan filem bajet mega atau sains fiksyen penuh CGI tetapi ada kekuatan jalan cerita dan makna.

Balas Balik merupakan sebuah filem ketiga arahan Fedoz Kader. Dibintangi Shukri Yahaya, Tony Eusoff, Marissa Yasmin, Isyariana, Adam Lee, Zarul Umbrella, Meor Mohd dan Razman Mahayuddin. Mengisahkan Detektif Zul (Shukri Yahaya) yang menyiasat kematian misteri seorang CEO, dipercayai meninggal dunia akibat sakit jantung. Dalam siasatan, dia mendapati ada rahsia gelap dan dendam yang tersembunyi di sebalik kes berkenaan.


Semua pelaku mempunyai motif masing-masing tapi dalam ramai yang menjadi suspek, menjadi pertanyaan. Siapakah yang dalang utama yang akan diseret ke muka pengadilan? Jika Blood Brothers (BB) menyerang panggung dengan darah persaudaraan dan pengkhianatan, BB versi Balas Balik pula sebuah penyiasatan merungkai misteri sebuah kematian bertingkah dendam.

Filem terbitan Shaibha Vision ini, akan memulakan tayangan bermula 29 Mei 2025.


No comments:

Post a Comment