Sunday, February 19, 2023

DOLLA Kembali Dengan Lagu Terbaru "Look At This"

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Kumpulan penyanyi DOLLA semakin mendapat nama semenjak akhir-akhir ini. Dari satu lagu hit ke satu lagu hit. Dalam beberapa tahun dalam industri, sudah mengecapi pelbagai kejayaan. Baru sahaja muncul dengan lagu baharu bersama Naim Daniel dengan lagu ‘Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Aku Buat', kini empat gadis jelita itu muncul dengan sebuah lagi karya yang bakal mencuri perhatian.


Single terbaru mereka "Look At This" yang baru sahaja dilancarkan beberapa hari semakin mendapat tempat di corong-corong radio dan juga aplikasi Tiktok. Lagu yang asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris ini telah dicipta oleh seorang penulis lirik dari Sweden. Namun bagi menjadikan lagu ini lebih diterima dan dekat dengan hati rakyat Malaysia,ia telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia. Ia memakan sedikit masa untuk diterjemahkan bagi memilih perkataan Bahasa Malaysia yang tepat dan sesuai dengan maksud dan irama untuk lagu seperti ini. Ramai yang turut menyumbang idea bagi menyempurnakan lirik ini. Antaranya ialah Cikgu Shafi, Sya, Yonniboi dan juga Asyraf Nasir. 


Lagu ini menceritakan tentang keyakinan diri seseorang tanpamempedulikan apa yang diperkatakan oleh orang lain. Lagunya berirama rancak dan pasti membuatkan badan bergerak-gerak apabila didengari. Dilengkapi dengan rap bagi menyedapkan lagi lagu tersebut. Masih lagi menggunakan khidmat Ezra Tham dan pasukan tari dari UNC Dance Studio untuk mereka koreografi lagu Look At This ini.



Muzik video lagu ini mendapat kerjasama daripada Ghazi. Menurut mereka, pembikinan muzik video ini agak sedikit mencabar akibat cuaca buruk sewaktu sesi penggambaran. Sudahnya penggambaran muzik video ini mengambil masa selama satu hari lebih iaitu 28 jam demi untuk menyiapkan muzik video Look At This.


DOLLA berharap lagu ini dapat diterima oleh semua golongan masyarakat dan juga peminat-peminat antarabangsa.Lagu Look At This ini boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan Youtube Music mulai 17 February 2023 jam 12 tengah malam. Muzik videonya pula boleh ditonton di laman Youtube DOLLA pada 17 February 2023 jam 9 malam. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...