Saturday, September 21, 2024

Know Know Arrived Japan - Pengalaman Bermain Ski di Sapporo (Day2)

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Hari kedua dekat Sapporo nie sangat penting bagi aku sebab kitorang dah tempah pakej untuk bermain ski dekat Klook. Pakej nak main ski nie dahlah mahal, jadi tak naklah terlewat or kena tinggal ke apa. Korang faham-fahamlah culture dekat Japan nie macam mana. Bab masa dorang sangat menepati masa. Jadi jangan buat main-main.


Pagi-pagi buta kami dah bangun. Tak sempat sarapan, terus berjalan kaki menuju ke stesen bas untuk pergi ke lokasi pick up yang kitorang dah pilih masa buat tempahan tu. Bila dah sampai ke lokasi tu, barulah boleh tarik nafas lega. Barulah boleh beli kudap-kudapan untuk isi perut. Tapi tak boleh nak lega sangat sebab tak tahu van kitorang tu akan pick up dekat bahagian mana. Tapi berdasarkan lokasi dan arahan yang diberi, rasa dah betul dah. Aku nie, selagi tak naik van tu, selagi tu rasa tak tenteram.


Mount Moiwa Ski Resort (Ski Experience)

Harga pakej : RM615/pax
Return Bus Ticket + 5 -Hours Lift Ticket + Ski Equipments & Suits + 1-Hour English Lesson 

Dalam banyak-banyak pakej ski yang ditawarkan dekat Klook, aku rasaa pakej dekat Mount Moiwa nie paling okay dan harganya berpatutan. Lengkap semuanya disediakan. Ada banyak resort lain tawarkan pakej ski dan harga berbeza-beza. Untuk beginner, bagi aku okay je tawaran pakej ski dekat sini.


Bila kita booking tu, kena isi segala butiran dari segi ketinggian, berat badan, saiz kasut dan juga tahap kepakaran kita bermain ski. Benda-benda nie sangat penting sebab dorang akan sediakan equipments dan suits berdasarkan butiran yang korang bagi dalam apps tu. Nanti bila dah sampai je, dorang akan bagi satu box yang mengandungi equipments dan suits untuk bermain ski nie.



Terus kami bersiap dan sarungkan suits dan equipement untuk mulakan aktiviti ski. Bila ambil pakej nie, jadinya korang akan bergerak dalam group. Sesi dorang ajar main ski tu sama dengan orang-orang lain yang satu group dengan kau. Bayangkan, sesi mengajar main ski tu 1 jam je dan korang kena berkongsi dengan orang-orang lain. Kalau ramai, maka makin suntuklah sesi korang belajar tu.



Pengajar kitorang yang pakai suit warna pink tu. Dia tak adalah ajar secara komprehensif pon, hanya sekadar yang asas sahaja. Macam mana nak meluncur, macam mana nak brek, macam mana nak kekiri dan kekanan. Itu sahaja, jadi janganlah expect korang boleh pakar setelah diajar tu. Tambah-tambah waktu mengajar hanya 1 jam dan kena berkongsi dengan orang lain yang ikut dalam group pakej korang tu. Memang tak sempat nak hadam dikk. Kau kena pandai-pandai main sendiri selepas 1 jam mengajar tu tamat.


Lama-lama penat weyhh sebab tak pandai-pandai main. Kalau korang rasa dah berani, korang boleh naik lift untuk ke puncak dan terus menggelongsor kebawah dengan ski tu. Kami sampai ke sudah tak naik lift tu untuk ke puncak. Agak rugi sebab tak dapat rasai pengalaman ski dari puncak. Risau tak turun kang nanti bila dah naik atas. Sedangkan yang dekat bawah nie pon masih sangkut-sangkut. Tapi ada je yang satu group dengan kitorang, dia tak hebat pon tapi dia berani naik ke puncak dan ski dari puncak tu sampailah ke bawah. Walaupun slow tapi dia berjaya turun jugak. Hebat!


Korang mainlah puas-puas sebab waktu korang dekat ski resort nie adalah selama 5 jam. Kalau rasa penat dan nak rehat, boleh pergi ke food court dorang untuk makan. Kami singgah makan sekejap sebab penat weyhh main benda nie walaupun hanya sekadar main untuk jatuh sahaja. Makanan pulak agak limited sebab tak boleh sembarangan makan. Jangan nak demand pulak makanan Halal dekat ski resort nie. Kitorang pilih makanan yang seafood dan vege based. Sedap dapat makan sup panas-panas time sejuk beku macam nie.



Selesai makan, kami sambung main ski. Masih tak reti jugak tapi gigih juga main untuk penuhi waktu 5 jam dekat sini. Tambahan pula, dah bayar 6 ratus lebih kot. Bila lagi nak ada pengalaman main ski, betul tak?


Selepas 5 jam, kami kena tukar semula baju dan masa untuk naik van pulang ke tempat asal. Sangat seronok walaupun tak reti main. Bertambah-tambah seronok kalau korang reti main. InsyaAllah kalau ada rezeki lagi, akan aku main sesungguhnya. Semengtara menunggu van kami sampai, dengan secara tiba-tiba salji turun. Ya Allah seronok gila masa nie. Walaupun tak turun dengan lebat, at least dapat merasa pengalaman salji turun.



Halal Ramen : Sapporo Ichiryuan 

BF1, 1-1 Jonishi, Chuo Ward, Sapporo Hokkaido

Restoran nie berada dekat dengan Sapporo Station. Lebih kurang 4 minit berjalan kaki dari sini. Korang waze je, nanti jumpalah. Tapi satu menu je yang halal iaitu Miso Ramen, lebih kurang dalam 1,300 Yen atau RM38.



Kami singgah makan dulu sebelum meneruskan ke destinasi seterusnya. Destinasi seterusnya nie tak ada tempat makan, jadi kami isi perut siap-siap. Jadinya tak adalah lapar sangat nanti.

Sapporo Mount Moiwa Ropeway

Ikutkan, Mount Moiwa Ropeway nie dekat je dengan Mount Moiwa Ski Resort tu. Tapi disebabkan kita ambil pakej untuk main ski tu, jadinya kami kena turun dulu ke bandar then naik bas semula untuk ke Mount Moiwa Ropeway nie. Kalau tak silap, bas setiap 40 minit ke atau 30  minit macam tu. Korang kena cek dekat Google. 

JR Sapporo Staation --> Mt Moiwa Ropeway (Keimei Line 50 bus)
Fare : 210 yen = RM6.20


Perjalanan mengambil masa 40 minit dari Sapporo Station menuju ke Mount Moiwa Ropeway Platform. Kalau ambil Keimei Line Bus 50 tu, dia direct terus sampai ke platform. Kalau naik line bas lain, mungkin ada kena tukar bas dan sebagainya. Jadi, korang pandai-pandailah baca dekat Google dan pastikan korang menaiki line bas yang betul.

Cable car ticket : 2,100 yen = RM61.20



Tak ramai orang pon, jadinya tak kena beratur lama. Cumanya waktu cable car berlepas ada waktu-waktunya. Agak rugi masa kalau korang terlepas waktu sebabnya nak tunggu cable car seterusnya agak lama jugalah. Alhamdulillah masa nie tak perlu menunggu lama, ngam-ngam beli tiket, cable car kami punya waktu lebih kurang lagi 10 minit je macam tu.



Gelap suasana dalam cable car. Dari dalam nie korang dah boleh tengok pemandangan bandar Hokkaido. Terang benderang ya dengan lampu-lampu. Dan yang paling tak tahan tu adalah sejuknya. Sumpah sejuk gila, tapi gigih juga naik gunung nie malam-malam sebab memang dah ada dalam itinerary kitorang nak pergi sini.



Tak boleh lama-lama sangat sebabnya sejuk sangat. Lebih kurang dalam setengah jam je kot kami dekat atas nie. Lepastu terus beratur untuk naik cable car turun pula. Lepastu kena tunggu pulak bas nak balik ke Sapporo Station. Pon lama juga menunggu dan kena beratur dekat luar. Ya Allah menggigil weyh kesejukan.


Sesampai je kami dekat Sapporo Station, kami pergi makan ice cream dan juga minum kopi panas. Malam masih muda, takkan nak balik hotel awal-awal. Kami singgah convenience  store dan minum kopi panas dekat dalam kedai tu sambil tengok orang lalu lalang.



Kami beli sedikit kudap-kudapan untuk dibawa balik ke hotel. Just in case rasa lapar bila dekat hotel nanti. Dekat Japan nie, korang tak perlu risau bab makanan sebabnya kebanyakkan dorang jual makanan yang berasaskan makanan laut. Beli je dekat convenience store, banyak  makanan segera. Tinggal panaskan dalam microwave bila dekat hotel.



Tengah dok syok minum kopi panas sambil tengok orang lalu lalang, secara tiba-tiba salji mula turun. Bukan sikit-sikit dia turun tapi dengan lebatnya. Terus kami keluar kedai dan ambil gambar. Siap call family masing-masing masa nie nak tunjuk salji. Sumpah rasa seronok dan syahdu sangat masa nie. Memang ini yang kami berdua inginkan dan impikan bila sampai ke Sapporo. Alhamdulillah Allah kabulkan impian kami nak rasai salji turun pada malam kedua kami di Sapporo.



Sumpah seronok sangat ! Tapi lama-lama makin sejuk. Kami pon mula berjalan kaki balik semula ke hotel. Agak jauh jugalah dalam 15 minit berjalan kaki. Tapi okay je, tak penat pon. Cuma salji semakin tebal. Okaylah, itu sahaja yang berlaku pada hari kedua kami di bumi Sapporo. Nantikan hari ketiga kami di sini pula ya? Terima kasih kerana sudi membaca. Bye!

No comments:

Post a Comment