Sunday, October 16, 2022

Bantuan Guaman Syarie (BAGUS) Dapat Membantu Mangsa Keganasan Rumahtangga Mendapatkan Keadilan

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Baru-baru ini tular di negara seberang akan kes keganasan rumahtangga yang dihadapi oleh sepasang suami isteri yang juga merupakan selebriti terkenal di negara itu. Si isteri sudah lama berada dalam rumahtangga yang tidak aman dan seringkali di pukul dan mengakibatkan kecederaan. Namun kenapa baru sekarang berani untuk bersuara ?


Melalui kes ini dan juga kes-kes yang pernah dilaporkan, kebanyakkan mangsa sudah berada lama dalam rumahtangga yang tidak aman dan sering mengakibatkan kecederaan. Justeru pihak berwajib rasa terpanggil untuk melihat isu ini lebih dalam. Baru-baru ini telah berlangsung satu Forum Leterasi Undang-undang Syariah "Menganiaya Isteri, Menzalimi Suami. Are you okay ?" yang telah berlangsung pada 14 Oktober 2022 di Dewan Rafflesia, Bangunan NIOSH, Bangi.


Forum ini merupakan kerjasama antara Wanita Ikon Selangor dan Persatuan Peguam Syariah Malaysia (PGSM). Ia juga mendapat sokongan dan kerjasama yang jitu dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), PGSM Selangor dan National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH).

Panel untuk forum tersebut terdiri daripada mereka yang cukup hebat dan pakar di dalam isu Keganasan Rumahtangga iaitu Dato' Dr Mohd Zaidi Bin Hj Md Zain, Dato' Hazizah Binti Hazim dan Datuk Dr. Norhafizah Musa. Moderator forum ialah Tuan Mohd Ridhwan Husin. Turut hadir ketika forum tersebut ialah Ikon Wanita Selangor iaitu Datin Rita Sosilawati. 


Banyak isu yang dibicarakan ketika forrum tersebut berlangsung. Penuh dengan informasi dan juga input yang boleh diguna pakai sekiranya diri kita atau rakan kenalan terdekat mengalami keganAsan rumahtangga. Menurut forum tersebut, wanita/isteri yang mengalami keganasan rumahtangga boleh mendapatkan perlindungan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tempoh selama 7 hari. dan seterusnya boleh mendapatkan juga perlindungan (interim) yang menghalang suami mendekati isteri.

Bila kita bicarakan soal isu keganasan rumahtangga, keganasan bukan sahaja berlaku secara fizikal bahkan boleh juga dalam bentuk seksual, ekonomi dan emosi. Adalah impian semua wanita/isteri untuk memiliki rumahtangga mawardah, sakinah dan warahmah. Tidak semua inginkan penceraian apatah lagi punca cerai adalah kerana keganasan. Namun perlu ingat, wanita/isteri bukanlah selamanya punching beg atau boneka yang boleh diperlakukan apa sahaja. Oleh itu, PGSM menyediakan perkhidmatan di dalam satu programnya khusus untuk kes-kes kegansan rumahtangga iaitu BAGUS. BAGUS merupakan akronim kepada Bantuan Guaman Syarie (BAGUS).


BAGUS merupakan Pusat Bantuan Guaman Syarie berfungsi dalam menyediakan khidmat bantuan guaman (Advocacy Support) bagi mewakili pihak-pihak untuk membuat tuntutan atau menjawab tuntutan (mal sahaja) di Mahkamah Syariah dengan kos yang minimum. Hal ini kerana, ia telah mendapat sokongan pembiayaan daripada kerajaan.

Ia merupakan satu inisiatif yang cukup bagus kerana dengan adanya bantuan seperti ini dapat mebantu wanita/isteri yang tidak mampu membawa kemelut rumahtangga mereka ke muka pengadilan. Faktor kewangan inilah yang menjadi salah satu punca terbesar mengapa ramai wanita dan isteri memilih untuk menerima dan berdiam diri biarpun diperlakukan aniaya oleh suami mereka. Seperti yang kita sudah sedia maklum, hendak membuka fail di mahkamah bukanlah satu hal yang murah. Semua melibatkan duit.


Khidmat BAGUS ini bagi membantu mereka untuk menuntut hak yang sepatutnya mereka peroleh sekiranya berpisah daripada sang suami. Dengan adanya pusat guaman yang sedia membantu pastinya akan lebih ramai lagi golongan terbabit yang kurang berkemampuan boleh mendapatkan hak mereka yang sepatutnya.

Boleh isi butiran di pautan yang berikut untuk mendapatkan khidmat BAGUS : LINK

Terdapat 2 kategori bantuan guaman syarie BAGUS yang ditawarkan iaitu:-
  • Golongan B40 yang bergaji dan berpendapatan isi rumah sebanyak RM4,850 sebulan dan ke bawah (bawah RM58,200 setahun)
  • Golongan M40 yang memperoleh gaji dan pendapatan isi rumah antara RM4,851 sebulan sehingga RM10,970 sebulan (antara RM58,212 hingga RM131,640 setahun)


Datin Rita Sosilawati yang bertindak sebagai Ikon Wanita Selangor memainkan peranan sebagai seorang usahawan wanita yang berjaya bagi membantu wanita-wanita yang diceraikan suami ini untuk menjana ekonomi mereka setelah perceraian. Kebanyakkan wanita sudah terlampau biasa hidup ditanggung suami, jadi apabila perceraian berlaku,mereka seolah-olah terkontang-kanting tiada hala tuju. Oleh faktor ekonomi ini juga, ramai wanita sanggup menjadi mangsa kegansan rumahtangga asalkan mereka masih ditanggung. 

Ini satu mindset yang sangat perlu dibuang oleh semua wanita. Hidup jangan berpaksikan suami. Wanita juga mampu menjana ekonomi sendiri, biarpun bergelar seorang suri rumah sepenuh masa. Tegas Datin Rita ketika ditanyakan akan fungsinya sebagai seorang ikon. 


Walaupun beliau seorang usahawan, namun beliau tidak akan memaksa semua wanita yang menjadi mangsa kegansan rumahtangga ini untuk menjana ekonomi mereka dengan berniaga kosmetik. Tapi sebaliknya akan bertanyakan minat wanita-wanita ini dan akan meyalurkan minat mereka itu ke saluran yang sepatutnya. Sebagai seorang yang berjaya dan sudah lama dalam industri perniagaan, Datin Rita Sosilawati sememangnya satu figura yang cukup kuat dan mempunyai kenalan yang cukup besar. Oleh itu, ini merupakan satu manfaat yang cukup bagus dalam membantu mangsa-mangsa kegansan rumahtangga ini untuk menjana ekonomi mereka.

Selain itu juga, Datin Rita mempunyai fan base yang cukup tinggi. Maka beliau boleh mengwar-warkan platform BAGUS ini di khalayak ramai. Semoga, dengan usahanya itu, ramai wanita yang menjadi mangsa kegansan rumahtangga dapat diselamatkan sebelum menjadilebih teruk. Apalah guna hidup sekiranya tiap hari bangun ibarat berada di neraka. 


Inilah masanya untuk mangsa keganasan rumahtangga bangkit dan melangsungkan kehidupan. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...